Wednesday 12 October 2016

Konsep kejiranan dalam masyarakat di Malaysia.

Semangat hidup berjiran yang kita warisi sejak turun temurun, kini jelas semakin terpinggir. Keadaan tersebut tidak wajar dibiarkan kerana hidup berjiran banyak manfaatnya. Dengan semangat kejiranan, masalah jenayah dapat dikurangkan. Kita tidak dapat menafikan bahawa kejadian pecah rumah kerap berlaku ketika penghuninya tiada di rumah. Jika semangat kejiranan dalam masyarakat kita kuat, masalah sedemikian dapat dielakkan kerana sebagai jiran yang bertanggungjawab seseorang itu akan prihatin terhadap rumah dan harta benda jirannya ketika ketiadaan mereka. Rakyat Malaysia keseluruhannya perlu mensyukuri, menghayati dan menghargai keamanan yang dinikmati di negara ini. Mereka perlu meningkatkan semangat kejiranan dan persaudaraan, kerana konsep kejiranan mampu membawa dan mengekalkan keamanan,keselamatan dan ketenteraman di negara ini.

Mereka akan membantu melihat-lihat persekitaran rumah tetangga dan mengambil tindakan yang sewajarnya jika berlaku sesuatu yang meragukan. Untuk memupuk semangat kejiranan, sistem pendidikan memainkan peranan penting. Melalui mata pelajaran tertentu, seperti Pendidikan Agama dan Pengetahuan Moral ataupun melalui penyerapan dalam mata pelajaran lain, amalan hidup berjiran dapat dipupuk di kalangan kanak-kanak. Matlamat pengajaran haruslah menekankan pengamalan budaya tersebut dalam kehidupan sebenar, bukan hanya  setakat mengetahuinya di atas kertas sahaja. Memupuk budaya ini di kalangan kanak-kanak adalah lebih mudah, umpama peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Langkah meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai juga tidak kurang pentingnya. Mereka harus selalu diingatkan agar mengunjungi antara sesama jiran pada waktu perayaan agar mereka dapat mengenali antara satu sama lain. Begitu juga amalan mengadakan rumah terbuka perlu digalakkan. Sikap individualistik dan berprasangka buruk terhadap jiran seharusnya dihapuskan kerana sifat ini menghalang pembentukan budaya tersebut. Memandangkan amalan hidup berjiran dapat menjamin pewujudan masyarakat penyayang yang amat penting dalam negara majmuk seperti di negara kita, maka kita mestilah sama-sama mengamalkannya.
Image result for konsep kejiranan
CIMB-Cina India Melayu Bersatu !!

Oleh : Fahmi 


No comments:

Post a Comment