Monday 10 October 2016

Integrasi pelbagai budaya di Malaysia...Part 2..

Masyarakat India biasanya mengikuti adat resam yang berteraskan agama Hindu meskipun ramai orang India pada hari ini beragama lain. Seperti kaum-kaum lain di Malaysia, mereka juga mempunyai budaya berkunjung ke rumah rakan dan sanak saudara serta turut bersedia menerima kunjungan dari jiran tetangga. Didalam masyarakat India, jika kita ingin berkunjung kerumah tetamu, amatlah digalakkan membawa buah tangan sebagai tanda terima kasih kepada tuan rumah. Mereka juga biasanya melangkah kedalam rumah dengan kaki kanan dahulu. Perayaan kaum India ini dipanggil “Deepavali”.Perayaan ini disambut oleh masyarakat Hindu. Ianya dirayakan pada 22 Oktober/November atau ke 14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil (antara bulan Oktober dan November) dan juga dikenali sebagai pesta Cahaya.Deepavali bermaksud ‘sebarisan pelita’. Dengan memasang pelita, mereka percaya bahawa kecerahan mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, keadilan mengatasi kezaliman dan kebijaksanaan mengatasi kejahilan. Di pagi hari, masyarakat Hindu akan menyucikan tubuh badan dengan memakai sedikit minyak di kepala dan mandi. Kemudian mereka bersembahyang di rumah atau dikuil-kuil.Selepas bersembahyang, mereka berkunjung ke rumah kaum keluarga.Kebiasannya, surirumah akan menyediakan kotak-kotak kecil berisi manisan dan membawa bersama apabila berkunjung ke rumah saudara-mara mereka. Di kebanyakan rumah, ‘rangoli’ iaitu lukisan yang dibuat daripada tepung beras berwarna-warni akan menyambut tetamu di hadapan rumah.

Selain itu, mereka juga menyambut hari Thaipusam.Hari Thaipusam merupakan hari menunaikan nazar dan menebus dosa atau memohon ampun atas dosa-dosa yang telah dilakukan sepanjang tahun. Bukan semua penganut Hindu akan menunaikan nazar. Nazar ialah memohon hajat kepada Dewa Murugan dan jika permohonan dikabulkan, maka satu acara tertentu diadakan sebagai tanda kesyukuran. Biasanya, murid yang akan menduduki peperiksaan, wanita yang berhajat untuk mengandung tetapi belum mendapat kurniaan Ilahi, lelaki yang meminta nazar semoga ibu bapanya selamat daripada pembedahan waima sakit merupakan antara faktor utama penganut Hindu memohon nazar. Ramai juga lelaki Hindu yang mencukur rambut pada hari tersebut dan mewarnakan kepala yang botak itu dengan warna kuning daripada kunyit. Perkhidmatan menggunting rambut ini ada disediakan di luar kuil dengan bayaran tertentu. Amalan ini merupakan satu bentuk melepaskan atau membayar nazar atau melupakan sesuatu peristiwa yang sedih dan menanti hari-hari yang baik yang bakal menjelma. Bagi yang memohon ampun agar dosa mereka diampunkan, “kavadi” akan dibawa atau dijunjung di atas bahu atau di atas kepala. Kavadi ini diperbuat daripada beberapa rod besi atau kayu yang di atasnya terletak patung dewa Murugan dengan pelbagai saiz dan bentuk. Antara hiasan utama kavadi ialah bulu burung merak dan bunga-bungaan. Pembawa kavadi ini lazimnya terdiri daripada lelaki, perempuan, tua, muda dan kanak-kanak. Berat dan saiz kavadi ini bergantung pada kemampuan seseorang. Selain itu pembawa kavadi akan diiringi oleh beberapa orang pembantu khas dari tempat masing-masing. Ada yang diiringi dengan kumpulan muzik , mangkuk perasap kemenyan dan lain-lain. Dari semasa ke semasa, pembawa kavadi akan berehat di tangga-tangga tertentu , berehat dan diberi minum.


Perayaan yang popular di Sarawak dikenali sebagai perayaan Gawai Dayak. Perayaan ini disaambut oleh kaum Dayak sebagai menandakan penghujung musim menuai serta permulaan musim tuaian baru. Untuk menyambut perayaan ini, kebiasaannya mereka akan membersihkan rumah serta kubur nenek moyang mereka. Sehari sebelum perayaan ini kesemua anggota keluarga akan berkumpul dan ahli keluarga yang paling muda akan menawarkan hidangan yang disediakan khas kepada kedua orang tua mereka. Pada perayaan ini juga, mereka akan menari dan mengenakan pakaian tradisional sambil menikmati “Tuak” iaitu sejenis arak yang diperbuat daripada nasi. Perayaan  bagi suku kaum terbesar di Sabah pula ialah Pesta kaamatan yang dirayakan olah kaum Kadazan  Dusun. Pesta ini merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati “Bambazon” iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi kaum Kadazan Dusun sejak zaman berzaman yang biasanya diadakan selepas selesai menuai padi. Perayaan seumpama ini mengharapkan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan.

Ia merupakan perayaan yang disambut di Sarawak oleh kaum pribumi Sarawak, terutamanya Iban, Bidayuh dan Orang Ulu seperti Kayan dan Kenyah, dan juga komuniti Dayak di Kalimantan Barat.  Kebanyakan kaum-kaum Dayak ini masih tinggal di rumah-rumah panjang dan setengah-tengahnya tinggal berkelompok di kampung-kampung. Gawai bermaksud pesta. Jadi, Gawai Dayak adalah Pesta Dayak. Gawai Dayak merupakan hari menyambut tahun baru yang ditandakan dengan berakhirnya musim menuai padi dan bermulanya musim menanam padi yang baru. Ia merupakan musim perayaan pesta-pesta tradisi dan sosial.Gawai Dayak mula disambut secara besar-besaran semenjak 25 September1964 apabila Hari Gawai diisytiharkan sebagai hari perayaan rasmi di Sarawak. Sambutan Gawai Dayak pada peringkat negeri yang pertama adalah pada 1 Jun 1965. Sebelum itu, hari cuti umum ini dipanggil Hari Sarawak oleh pemerintahan Rajah Brooke. Mereka mempunyai beberapa upacara besar yang dijalankan di rumah panjang dan bandar.Hari pertama perayaan jatuh pada pada 31 hb Mei dan hari kedua pada 1 hb Jun setiap tahun dan akan tamat secara rasmi dengan upacara penutupan pada akhir bulan Jun dan dipanggil menggulung tikar. Perayaan Pada Hari Gawai Dayak. Nasi pulut "pansuh" (lemang) akan dimasak dalam ruas buluh supaya ada aroma istimewa daripada buluh tersebut yang tidak diperolehi jika dimasak dalam periuk.Nasi pulut ini adalah dianggap hidangan istimewa kerana kelekitannya melambangkan perpaduan dikalangan komuniti itu yang menjamahnya. Nasi pulut juga digunakan membuat nasi manis dan tuak,sebagai salah satu sajian kepada para dewa dan membalaing tiang chandi sewaktu gawai burung atau kenyalang. Majlis penutupan Gawai Dayak akan diadakan dengan acara simbolik menggulung tikar yang dipanggil "Ngiling bidai" oleh kaum Iban. Acara ini merupakan maljis kecil atau sederhana di mana ada makan minum setakat yang masih ada, pokok ranyai yang lebih kecil boleh didirikan, diikuti tarian ngajat sekurang-kurangnya dan tuak peruk mungkin dihidangkan. Ruak peruk disediakan daripada hampas nasi pulut yang tinggal dalam tempayan setelah air tuaknya hampir habis diminum. Jadi, tuak peruk selalunya berwarna putih. Akhir sekali, sebuah tikar yang dipanggil "bidai" akan digulung untuk menandakan tutupnya perayaan Gawai Dayak.

Pesta keamatan atau nama lain iaitu (Tadau Kaamatan) atau di dalam bahasa Kadazan "Magavau"merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati "Bambazon" iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi Kaum Kadazan-Dusun sejak zaman berzaman. Perayaan "Magavau" ini biasanya diadakan selepas selesai menuai padi. Antara sambutan menarik yang diadakan ialah persembahan dan pertandingan Tarian Sumazau. Tarian ini ditarikan oleh kaum petani terdiri daripada lelaki dan perempuan dengan memakai pakaian tradisional mereka. Tarian ini dengan iringan paluan Gong. Tarian ini ditarikan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung, mengikut alunan rentak yang dimainkan.Selain daripada persembahan tarian Sumazau, diadakan juga pertandingan nyanyian dipanggil Sugandoi, pertunjukan bina badan, dan ratu cantik atau "Unduk Ngadau", dan persembahan segala jenis kesenian dan kraftangan. Pertandingan seperti memukul gong dan sukan rakyat juga menjadi antara acara utama dalam perayaan ini. Antara hidangan popular semasa perayaan ini ialah meminum tapai atau "Kinomol", iaitu sejenis arak tradisional. Tapai merupakan minuman tradisi mereka, diperbuat sama ada daripada beras (nasi) atau ubi kayu. Nasi akan diperam di dalam sebuah tempayan besar atau "tajau" selama seminggu, atau ubi kayu diperam selama dua hingga tiga minggu. Biasanya tapai dicampur dengan ragi untuk mempercepatkan proses "memberi rasa" kepada tapai tersebut. Kebudayaan dan adat ahli masyarakat Malaysia walaupun berbeza, namun mempunyai asas yang sama iaitu membentuk keperibadian dan jati diri individu ke arah yang lebih baik. Melalui usaha membentuk identiti dan keperibadian kebangsaan, ia membolehkan masyarakat negara kita berinteraksi dengan lebih baik di antara satu sama dalam melaksanakan matlamat yang sama iaitu untuk membentuk masyarakat Malaysia yang bepegang teguh dengan ajaran agama masing-masing dan mementingkan nilai-nilai murni yang diajar didalarn agama mereka. Akhirnya,interaksi antara kaum ini penting untuk menghindari masyarakat daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat dan menyalahi norma-norma kehidupan. Interaksi antara kaum yang baik juga adalah merupakan satu jalan kearah perpaduan nasional dan mencetuskan masyarakat yang harmonis dan bersatu padu.

Oleh: Maek Jedidaiah

No comments:

Post a Comment